Sabtu, Oktober 03, 2020

Macam mana aku dapatkan tiket G2G animal garden murah


Posting kali ini adalah sebagai panduan kepada yang teringin nak bawa anak jalan-jalan tapi ada kekangan kewangan atau ingin menjimatkan wang dengan cara bijak. Kita berjimat tapi kegembiraan anak-anak tetap menjadi keutamaan. 

Pada awal aku tinjau harga tiket masuk ke G2G Animal Garden di Web Site nya, berikut adalah harga tiket iaitu RM20 Dewasa dan RM15 Kanak-kanak, bagi kanak-kanak bawah 90cm, masuk adalah percuma. Maka bagi kami sekeluarga yang ada 2 dewasa dan 3 kanak-kanak memerlukan tiket jumlah yang perlu kami bayar adalah RM85. Uzayr tak kena tiket kerana tak cukup ketinggian.

Aku tinjau lagi ada tak yang buat tawaran tiket lebih murah atau ada apa-apa pakej yang sesuai untuk kami semua. Sekali terjumpa Web TripCarte, dia ada family pakej RM48.80 untuk 2 dewasa dan satu kanak-kanak dan diskaun pembelian secara atas talian bagi tiket kanak-kanak adalah pada harga RM14.10. Maka aku hanya perlu beli 2 tiket tambahan bagi kanak-kanak dengan harga RM28.20. Jumlah yang aku perlu bayar sekarang adalah RM77. 

Maka aku usul pada Mr.Y ok tak harga tersebut, kata Mr.Y adakah ada cashback kalau aku beli itu. Ohhh...kita kena tengok ada cashback tak, buka aplikasi shopback, taip tripcarte.. YES!!! ada 5% cashback. Tapi cash back akan dapat 90 hari selepas pembelian berjaya dilakukan. Tak kisah lah, ada lah juga sikit walaupun tak banyak.

Ini adalah cashback dari shopback yang akan aku dapat hasil pembelian tiket G2G Animal Garden. Kod rujukan bagi shopback aku adalah OEjnGNE6bab. Atau klik link ini https://app.shopback.com/OEjnGNE6bab 

Oleh kerana ini adalah pertama aku buat pendaftaran dan pembelian dari Tripcarte, maka aku dapat lah reward dalam bentuk point. apabila cukup 500 point, maka kita dapat RM15 OFF.  

Seterusnya, aku pun buat segala jenis pembelian tiket, waktu nak bayar dia kata ada diskaun 31% bagi pembelian melebihi RM60 menggunakan Grab Pay Kredit. Kiranya aku akan dapat potongan dalam RM20. apa lagi terus lah bayar guna GRAB Pay. maka hasil aku hanya Perlu bayar RM57.

Ini adalah resit pembayaran menggunakan GrabPay. Waktu ini aku dapat diskaun kerana ada Intensif Penjana. Intensif ini berakhir 30 September 2020. Kalau beli sekarang, masih akan dapat Grab Point.

Bila kakak aku tahu yang kami nak ke G2G animal garden, dia pun sama nak bawa keluarga ke sana...makanya  dia suruh kita beli tiket untuk dia dan keluarga. Waktu nak beli untuk dia, point aku dah cecah 500, maka aku terus guna dan dapat diskaun RM15. Tapi aku tetap minta aku bayar harga penuh dekat aku. Kira aku dapat balik lah RM15. Dari RM57 aku tolak dengan RM15, maka harga sebenar yang aku bayar untuk kami sekeluarga adalah RM32. Kelebihan bila buat pembayaran menggunakan Grab pay, kita akan dapat point juga. 

Secara ringkas aku guna 2 aplikasi dalam pembelian kali ini....iaitu SHOPBACK & GRAB... tripcarte tak ada mobile apps, maka kamu akan dibawa terus ke web Tripcarte dalam aplikasi ShopBack.

Itu sahaja perkongsian kali ini. Harap anda semua fahamlah apa yang aku sampaikan...

Selasa, September 29, 2020

Hampir sebulan.. facebook block link blog dan instagram tak dapat komen atau like...

 Assalamualaikum dan salam lunch semua...kecewakan apabila usaha macam-macam buat tapi masih tak selesai masalahnya.

Hampir sebulan aku tak dapat share link blog dekat Facebook sebab dikatakan ia sebagai SPAM. Pelbagai cara dan panduan dan tutorial aku ikut tapi masih tak selesai...dalam masa sama aku hanya mampu letak gambar sahaja dekat instagram. Nak komen atau nak like tak dapat. Aku perasan semua ini terjadi apabila aku lulus adsense hari itu. Selepas tukar domain, kena apply adsense baru...Alhamdulilah setelah hampir 2 bulan mohon adsense pun lulus.

Masalah bila adsense lulus aku perasan beberapa hari kemudian aku tak dapat share link blog dekat facebook. Sedey wei...

Ada rakan-rakan blogger pernah alami benda ini tak..kalau ada boleh sare macam mana nak selesaikan.... Job dapat pun kena reject sebab dia nak share post dekat media sosial...dah tu aku nak share macam mana kalau facebook dan insta block link aku... job lak ada due date... Menangis tepi bucu katil pun tak guna...

Terima kasih saya dahulukan pada yang sudi membantu....




Jumaat, September 25, 2020

Beza buku pink dahulu dan sekarang....

Assalmualaikum. Ok nak cerita pengalaman buka buku pink di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur musim covid-19 kali ini. Jika 4 kandungan sebelum ini aku boleh call klinik tanya hari apa perlu datang untuk buka buku pink, kali ini sangat berbeza kerana perlu buat temujanji melalui apliksi bookdoc. Kalau tak ada screenshot temujanji, tak payah berangan nak buka buku pink...depan pintu masuk semasa check suhu dah kena halau.

 Sampai hari temujanji, maka ke klinik lah aku, jururawat tanya suami tak datang ke? aku jawab laki aku jaga anak kat rumah. Maka dia bagi tempoh 3 bulan untuk suami datang buat HIV test. Aku tanya wajib ke? Nurse kata wajib. Jika dulu hanya aku je buat segala jenis ujian dan test, sekarang Mr.Y pun kena.

Kalau dulu selepas beberapa kali checkup baru diberi tarikh untuk minum air gula, sekarang hari buka buku dah diberi tarikh untuk MGTT test. Ini kerana faktor usia. Umur aku lebih 35tahun dah kot tahun ni. 

Itu sahaja perbezaan dari segi proses buka buku pink antara dulu dan sekarang. 

Khamis, September 17, 2020

Bila anak bertanya, Kenapa ummu abi tak suka tengok drama?

 

Ini adalah anak sulung aku yang telah berusia 8 tahun dan mula menunjukan minat menonton drama-drama. Walaupun dia mula menunjuk minat, aku taklah sokong 100% dan tak menyeka 100%. Ada had dan limit. Dia selalu menonton drama bersama nenek dan sepupunya. Persoalan yang bermain dalam fikiran dia kenapa ibubapanya tak suka tengok drama terutama drama melayu? Apa yang dia perhatikan mak saudara, sepupu-sepupu dan nenek cukup jam akan mengadap slot drama kegemaran. Tapi tidak mak ayah dia, sebaliknya mak ayah dia lebih suka menonton anime jika berpeluang...Kenapa ye....?

Sebenarnya pada pendapat aku corak kita dibesarkan sewaktu kecil membentuk diri kita sekarang. Aku dan Mr.Y dibesarkan dengan membaca komik seperti pedang setiawan, dendam kesuma, dragon quest, detektif conan dan menonton kartun seperti dragon ball, doremon, anak-anak sidek, sailor moon dan lain-lain seangkatannya. Selain itu dirumah mak ayah aku, ada peraturan penggunaan tv. Setiap hari pukul 7malam wajib tutup TV sehingga selesai solat magrib dan mengaji. Pada dia waktu maghrib dan isyak adalah waktu beribadah. Sedangkan waktu 7malam lah dari dulu hingga kini siaran drama melayu kegilaan rakyat malaysia. Aku syukur mak aku tegas bab ini, kini aku buat peraturan itu dekat anak aku...memang ada protes sebab kenapa yang lain boleh duduk layan tapi dia kena tinggalkan drama waktu itu.

Drama malam-malam tak layan ke? Bukan pelayan yang setia, kadang-kadang tak buka pun tv malam. Bila ayah mula baca buku, anak-anak takut nak buka tv sebab ayah kata bising dia nak membaca. Terpaksalah anak-anak cari aktiviti lain. Mak aku pula akan buat kerja rumah yang belum selesai atau terus tidur, lagipun nak bangun awal kan esoknya.

Kesimpulan yang aku dapat buat adalah, bagaimana kita dibesarkan akan membentuk keadaan kita bila dewasa. Bagaimana contoh kita tunjuk dekat anak-anak, maka itu yang mereka tanam dalam diri. Berbalik kepada persoalan kakak humaira, Kenapa ummu abi tak suka tengok drama? Aku jawab, 

Ummu abi memang kurang gemar menonton drama kerana pada ummu drama hanya boleh ditonton saat kita tiada hal penting untuk dilakukan. Ummu dengan abi sentiasa ada hal lebih penting untuk buat seperti layan adik main, siapkan tempahan, bac abuku yang banyak abi beli tapi tak habis-habis baca. Menonton drama bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, sebalik perlu tengok dengan tujuan tertentu seperti apa pengajaran dan ilmu kita dapat saat menonton. Lagipun jika drama menunjukkan ciri-ciri tak bagus, lebih baik tidak tengok supaya kita tidak terikut dengan perlakuan tersebut


 Harap penjelasan ini jelas buat anak kecil yang sedang membesar...anda bagaimana jawab jika ditanya soalan begitu?

Rabu, September 16, 2020

Resepi Homemade Kerepek Pisang




Assalamualaikum dan selamat pagi. Beberapa minggu lepas mak kita tebang pokok pisang nangka tapi buah pisangnya belum masak. Mak mertua kita tak pernah buat kerepek pisang, maka dia tanya kita pernah buat atau tak? Kita orang kampung mestilah pernah, dia cerita macam mana anak dia pernah  buat tapi kerepek melekat satu sama lain, tak jadi sekeping-sekeping. Sebenarnya ada semua bahan nak buat kerepek pisang ramai yang tahu tetapi teknik nak buat tak semua tahu. Maka kali ini aku nak kongsikan cara bagaimana aku buat kerepek dari zaman sekolah sehingga kini. Teknik ini semua aku perolehi daripada arwah ibu dan nenek. 

Bahan-bahan

  • Pisang putik (aku guna kali ini adalah pisang nangka)
  • Air 
  • Garam kasar
  • Minyak



Cara-cara
  • Besen besar digunakan untuk mengisi air sehingga dapat meredam semua pisang yang dikupas. 
  • Garam kasar dilarutkan kedalam air tadi. Anggaran jangan sampai air menjad terlalu masin...masin sikit-sikit sahaja.
  • Seterusnya kupas pisang tadi dan terus rendam ke dalam basen bersama air garam tadi. Buat sehingga semua pisang habis. Nasihat pakai sarung tangan kalau tak nak getah pisang melekat ditangan.
  • Biarkan pisang itu terendam sekitar 1 ke 2 jam...jangan lama sangat nanti kerepek hampa jadi masin sangat.
  • Selepas 1 ke 2 am, panaskan minyak yang banyak dalam kuali. Kita buat 1 kg minyak terus dan pastikan kuali besar ye baru best nak memarut. 
  • Sementara tunggu minyak panas toskan beberapa biji pisang agar air nya kering, jangan tos semua sebab tak nak pisang nanti jadi hitam.
  • Apabila minyak telah panas, terus parut pisang ke dalam kuali, jika ada pembantu, maka seorang memarut dan seorang mengacau. Insya Allah kerepek yang diperolehi tak akan melekat satu sama lain. 
  • Sementara nak tunggu yang dalam kuali garing, toskan beberapa biji yang lain untuk parutan seterusnya dan buat sehingga habis.
Bagaimana nak tahu pisang telah garing adalah dengan melihat buih gorengan berkurangan, jangan tunggu sehingga pisang bertukar warna. Ada sesetengah orang meletakkan bawang putih ke dalam minyak tapi aku tak letak. Ada juga yang hanya rendam pisang dalam air biasa sahaja, apabila siap digoreng mereka gaulkan dengan garam untuk dapat kerepek pisang masin. Kalau zaman kecil dahulu nenek kita gaul gula castor maka dapat kerepek pisang manis. 

Itu sahaja perkongsian kali ini. Harap berguna...