Memaparkan catatan dengan label pelaburan hartanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelaburan hartanah. Papar semua catatan

Jumaat, April 10, 2020

Macam mana kami rancang pembelian rumah ke dua.

Assalamualaikum dan selamat pagi. Ini kisah bagaimana kami mengumpul wang bagi mendapatkan rumah ke dua. Empat perkara penting yang perlu kita ambil kira jika berhajat untuk membeli sebuah rumah iaitu: 
  1. Bayaran deposit rumah
    Oleh kerana bank menyediakan margin pembiayaan/pinjaman rumah sebanyak 90% sahaja bagi rumah pertama dan kedua (70% bagi rumah ketiga), maka seorang pembeli perlu menyediakan minima 10% daripada harga rumah sebagai deposit.
    Jika harga rumah RM 300,000, maka deposit 10% adalah RM 30,000.
  2. Yuran guaman & duti setem
    Pembelian rumah perlu disertakan dokumen perjanjian jual-beli (sale & purchase agreement, S&P). S&P ini perlu disediakan peguam dan dimatikan setem.
    Maka, kos guaman dan duti setem mengikut kadar yang ditetapkan perlulah disediakan. Anggaran mudah, 3% ke 5% daripada harga rumah.
  3. Valuation Fee
    Valuation Fee biasanya akan termasuk sekali dalam pakej pinjaman yang diberi oleh pihak bank tapi kalau tiada kena bayar sendiri. Boleh dapatkan quotation dari syarikat valuer.
  4. Jangan lupa insurans perumahan. Ini penting!
    Insurans untuk kediaman adalah salah satu polisi insurans paling penting untuk kita miliki. Rumah merupakan satu pelaburan terbesar dan pasti kita ingin melindunginya.
    Kebiasaannya insurans akan termasuk sekali dalam pakej pinjaman yang diberi oleh pihak bank. Jadi, anda boleh memeriksa kembali jika pakej yang diberikan tidak lengkap dengan insurans.

Pada awal tahun 2016, kami melangsaikan pembayaran pinjaman kereta yang masih berbaki 30bulan menggunakan simpan yang ada (bukan simpanan kecemasan ye, simpanan kecemasan jangan usik ye). Kenapa kami langsaikan terus semua pinjaman kereta, sedangkan tempoh dua tahun bukan lama sangat pun. Ya, dua tahun bukan tempoh yang lama tapi cuba anda perhatikan perbezaan bayaran melalui anggaran kasar seperti di bawah 
Tulisan tangan Mr.Y. Ini adalah teknik Snowball. Teknik ‘snowball’ ini adalah strategi pengurangan hutang dengan cepat dan sistematik yang telah diperkenalkan oleh Dave Ramsey, pakar pengurusan kewangan peribadi dari Amerika.
Anggaran awal hutang pinjaman masih berbaki sekitar RM15000, tetapi kami mendapat rebat kerana melangsaikan hutang lebih awal, maka kami hanya perlu membayar RM12000 lebih. Secara kasar kami telah menjimatkan wang kami sekitar RM2000. Selain itu kami akan turut mempunyai aliran wang positif RM500 setiap bulan yang disimpan ke dalam akaun ASB.

Pada masa tersebut kami telah meletak matlamat rumah mestilah disewakan kepada orang lain, bukan untuk duduk sendiri, rumah kos rendah, berdekatan dengan kedai dan kemudahan pengangkutan awam.  Kami memilih rumah kos rendah kerana ia lebih mudah untuk disewakan dengan kadar bayaran sewa bulanan tidak mencecah rm1000 tetapi lebih tinggi dari bayaran bulanan pinjaman rumah kepada bank. Apabila sesebuah rumah berada berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam dan kedai, kadar permintaan adalah lebih tinggi. Maka, Insyaallah akan tetap ada penyewa setiap bulan.

Sekitar penghujung tahun 2018, wang terkumpul dalam ASB telah cukup untuk kami jadikan sebagai bayaran deposit rumah kedua kami. Maka Mr.Y mula menghubungi agen-agen rumah jika melihat iklan rumah yang bersesuai dengan kehendak kami. Jika tidak melangsaikan hutang kereta pada 2016, maka 2018 baru kami bebas dari pinjaman kereta. Seterusnya kami perlukan masa lagi 2 tahun untuk mengumpul wang bagi membolehkan kami mendapatkan rumah kedua.Maknanya tahun 2020 baru beli rumah.

Setelah hampir 10bulan mencari akhirnya kami berjaya menemui rumah yang kami inginkan. Tempoh masa 3-6bulan juga diambil bagi menyelesaikan segala urusan pemilikan rumah. Ini lah cerita rumah kedua kami.