20 April 2019 (Sabtu)
Selepas menempuh perjalanan yang penuh jem menuju ke Melaka akibat lori terbakar, kami singgah solat di masjid Al-Rashidun Alor Gajah. Asalnya nak lunch dekat kedai dalam kawasan masjid tetapi hari tersebut semua kedai dalam tutup kerana masjid menjalankan karnival waktu pagi. Agaknya semua bahan jualan habis. Maka kami ambil keputusan solat dahulu. Anak-anak setuju sahaja mengikut. Sampai tempat wuduk Kakak Humaira dan Kakak Hana cakap nak ambil wuduk jugak. Mereka kata nak solat jugak. Alamak!!! macam mana nak solat, semua tudung orang besar...mujur dalam beg ummu ada standby stokin untuk kecemasan macam ni tapi ada satu sahaja. Pakaian anak-anak pun proper..mereka pakai seluar dengan t-shirt lengan panjang dan tudung. Maka ummu berilah stokin dekat kakak Humaira, Kakak Hana berjaya ummu pujuk untuk layan Uwais main dalam masjid. Salah satu sebab kenapa aku rasa masjid ini best, sepanjang kami singgah yang dah beberapa kali, kami tak pernah ditegur kerana anak-anak berlari di ruang belakang tempat solat. Terasa macam duduk dekat dalam surau al-mustaqim sibu pun ada. Maka hari itu kakak solat mengikut ummu. Solat jamak zohor dan asar. Usai solat, hana datang bgtahu...lain kali jangan lupa bawak stokin untuk dia juga. Kakak pulak cakap dia gembira. Ummu tanya kenapa kakak gembira. Jawapan yang akan menyentuh hati mana-mana ibu bapa. "Kakak dapat solat dengan ummu dan nenek dekat masjid, nanti kalau jalan-jalan kakak tak tinggal solat lagi. Allah mesti sayang dan dapat pahala."
Semoga semua anak-anak ummu abi suka kepada rumah Allah dan tetap kuat keimanan.
Jom tengok maklumat asas pasal solat musafir...
APA ITU SOLAT JAMAK?
Menurut JAKIM, takrifan solat jamak terbahagi kepada dua, iaitu:
1. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.
2. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
APAKAH SYARAT SOLAT JAMAK?
UNTUK SOLAT JAMAK TAQDIM:
1. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya’.
2. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
3. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
4. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
5. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
UNTUK SOLAT JAMAK TAAKHIR:
1. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
2. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
BAGAIMANA CARA DAN CONTOH NIAT SOLAT JAMAK?
UNTUK JAMAK TAQDIM:
1. Jama’ Taqdim Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
2. Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
UNTUK JAMAK TAAKHIR:
1. Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)
2. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah)