PENGENALAN
Bendi yang dipercayai berasal dari Afrika Utara ialah sejenis tanaman sayuran buah yang berlendir. Ia mudah di tanam dan kurang diserang penyakit dan perosak. Buah dan bahagian-bahagian lain tanaman ini boleh
dipelbagaigunakan seperti buahnya boleh dibuat ulam dan dimasak dengan pelbagai cara; kari, salad dan
digoreng. Buahnya juga boleh diproses iaitu ditinkan, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula
digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang bendi yang tua dijadikan kertas
dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.
PENANAMAN
Bendi boleh ditanam dikebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut dan tanah-tanah lembah sungai yang bersaliran baik.
PENYEDIAAN TANAH
Bajak dan gembur tanah sedalam 15 cm hingga 22 cm. Buat pengapuran jika perlu iaitu 2 minggu sebelum menanam. Sediakan batas. Gaulkan ke dalam tanah baja organik seperti tahi ayam reput sebanyak 3 hingga 5 tan sehektar.
CARA-CARA MENANAM
Tanam biji benih sedalam 2.5 cm di batas. Pastikan dibubuh 2 biji selubang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 90cm antara pokok. Selepas 2 minggu cabut satu pokok yang kurang subur. Sebanyak 11 gram biji benih diperlukan untuk satu batas berukuran 1.2m lebar dan 30 m panjang.
MEMBAJA
Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok setiap 2 minggu. Untuk sehektar tanah, 1 tan baja diperlukan.
MENYIRAM
Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok mengeluarkan bunga dan
pembentukan buah.
MERUMPUT
Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label racun herba tersebut.
PENUAIAN
Buah-buah bendi boleh dituai dengan memotong 2 cm dari pangkal buah. Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mut buah. Penuaian mula dilakukan ketika:
a. 50 hingga 55 hari selepas menanam
b. 5 hingga 6 hari selepas bunga berkembang dan berlaku pendebungaan
c. Buah berukuran 10 hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buahan masih lembut, hujungnya rapuh, senang
dipatahkan dan belum berpulur.
Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang berterusan. Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 minggu.